RM47 juta atasi hakisan pantai Kuala Muda

Dua buah projek pemuliharaan pantai bakal dibina bagi menangani masalah banjir dan hakisan pantai di sekitar pantai Kuala Muda.

Sebuah projek bernilai RM22.2 juta melibatkan pembinaan “rock revetment”, ban pantai & TCG akan bermula di pantai Kg. Sg. Pial hinggalah ke Tanjung Dawai.

Manakala sebuah lagi projek bernilai sekitar RM25 juta melibatkan pembinaan dan pembaikpulihan “rock revetment”, ban pantai dan TCG yang bermula di Kg. Tepi Sungai hingga ke Pulau Sayak.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga, Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Hajjah Suraya binti Yaacob berkata, keputusan itu diambil untuk menangani masalah bajir yang dialami oleh penduduk sekitar.

“Bahkan, benteng-benteng laut yang bakal terbina itu akan mengurangkan kesan hakisan, memulihara eko-sistem dan hasil laut yang menjadi mata pencarian utama nelayan persisir pantai di kawasan tersebut”, tambah beliau.

Kerajaan mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk di sekitar pesisir pantai Kuala Muda ini yang terpaksa berhadapan dengan masalah air laut masin melimpah membanjiri rumah dan tanaman setiap tahun.

“Insya Allah, dapatlah penduduk di persisir pantai Merbok itu menikmati faedah keselamatan komuniti, meningkatkan kualiti hidup yang lebih baik dan peningkatan ekonomi, dapat mencari rezeki dengan aman tenteram.” ujar beliau

Ikuti kami di media sosial.

Leave a Reply