2020: Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih…

YB Dato’ Suraya Yaacob
  1. Kira-kira 29 tahun lalu, PM ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Wawasan 2020, sebuah gagasan yang memberi impian kepada rakyat dan hala tuju kita ke arah sebuah negara maju.
  2. Alhamdulillah, hari ini Allah izinkan beliau untuk menyaksikan sendiri gagasan yang diumumkan pada usia mencecah 95 tahun sebagai PM ke-7 bersama lebih 31 juta rakyat di seluruh negara.
  3. Namun begitu, ramai yang terkilan melihat Malaysia pada tahun 2020 ini tidaklah seindah yang beliau canangkan dulu. Malah ramai pula yang menyindir Wawasan 2020 & pencetus gagasan ini khususnya di media sosial.
  4. Benarlah bahawa Malaysia gagal dipacu ke arah intipati sebenar Wawasan 2020. Namun lebih mengecewakan, negara kita yang sebelum ini berada di atas landasan negara maju, kini mundur jauh ke belakang selepas dikemudi PH.
  5. Tidak perlu diulas dengan terperinci tentang apa yang berlaku selepas PH berkuasa. Sejak Mei 2017, rakyat sendiri menilai apa yang berlaku dan telah memberi mesej terbaik kepada PH melalui beberapa PRK lalu, terutama di Tanjung Piai.
  6. Tidak mengapalah. Biarlah PH menunjukkan wajah sebenar mereka. Kita cuma mampu berdoa agar Malaysia tidak terus mundur ke belakang dan menanti detik PRU ke-15 untuk mengembalikan negara ke atas landasan yang tepat.
  7. Bersempena permulaan abad baharu ini, ayuh kita “buang yang keruh dan ambil yang jernih”. Kita perlu mencari kekuatan baharu untuk berdepan tahun 2020 yang dijangka lebih mencabar berbanding tahun lalu.
  8. Kita tidak wajar berdiam diri melihat Malaysia serba-serbinya mundur ke belakang. Bahkan kita harus terus bangkit menyatukan seluruh negara majmuk ini ke arah sebuah negara bangsa yang lebih gemilang.
  9. Yakinlah! Dengan semangat Muafakat Nasional, UMNO/BN dan PAS akan kembali memimpin Malaysia dengan lebih holistik, kemajuan seimbang, makmur harmoni serta adil untuk semua, tanpa mengira agama, kaum atau warna kulit.
  10. Ayuh berazam dan berusaha, semoga kita diberikan kekuatan dan rahmatNya pada tahun 2020 ini untuk membina kembali Malaysia ke arah sebuah negara Islam maju dan diredhai Allah di dunia mahupun akhirat.

UMNO, sebuah perjuangan abadi demi agama, bangsa & negara…

Ikhlas,

Kak Su (Datuk Suraya Yaacob)
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah
Ketua UMNO Bahagian Pendang
Adun Sungai Tiang

Ikuti kami di media sosial.

Leave a Reply